Rabbit Park merupakan salah satu tarikan pelancong di Bukit Tinggi. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami sempat singgah di Rabbit Park. Harga tiket untuk sekali masuk ialah RM 3 tidak kira dewasa ataupun kanak-kanak manakala kanak-kanak dibawah umur 2 tahun tidak dikenakan bayaran. Harga sepeket makanan arnab ialah RM 1.50. Harga tiket untuk menunggang kuda pula RM 6. Hanya kanak-kanak sahaja yang dibenarkan untuk menunggang kuda. Ada dua ekor kuda untuk ditunggang. Seekor namanya ialah Niver manakala seekor lagi bernama Simon.
Aku mengaku bahawa aku memang takut dan geli dengan binatang. Tiba-tiba hari ini ayah menyuruh aku untuk memberi arnab makan. Dahlah makanan arnab itu harus letak atas tangan dan jika makanan jatuh diatas tanah, arnab tidak akan makan makanan itu. Cerewet sungguh binatang yang bernama arnab ini.
Dalam hati aku terdetik, " Dahlah aku takut dengan binatang, ayah pula suruh aku beri arnab makan, aduhh, susah betul lah,". Tiba-tiba sepupu aku, Farhana datang dan terus memberi arnab makan tanpa geli dan takut. Ayah menyindir aku kerana sepupu aku yang baru berumur 6 tahun itupun berani memberi arnab makan tetapi aku tidak berani.
Setelah beberapa minit melihat Farhana memberi arnab makan tanpa geli, aku pun memberanikan diriku untuk memberi arnab makan. Akhirnya, aku berjaya juga memberi arnab makan. Tidak disangka, Miza dan Alim juga takut untuk memberi arnab makan padahal mereka yang suruh emak beli makanan arnab.
Setelah memberi arnab makan, aku pun membeli tiket untuk menunggang kuda. Menunggang kuda pun kena tunggu giliran. Apabila tiba giliran aku, aku pun naik atas kuda. Kuda yang bernama Niver membawa aku mengelilingi padang.
Kira-kira jam 4 petang, kami pun keluar dari Rabbit Park dan meneruskan perjalanan. Kami singgah di Petronas, Janda Baik untuk mengisi minyak. Kami akhirnya tiba di Kuala Lumpur pada jam 5:30 petang. Perjalanan ini memakan masa selama 1 jam setengah.
Aku berasa sangat gembira dan berpuas hati dengan percutian kali ini. Aku fikir cuti semester kali ini akan menjadi satu cuti yang bosan tetapi tidak selepas emak diberi cuti.